Saturday, October 30, 2010

DOA ADALAH INTIPATI KEPADA SEGALA IBADAH

Kategori : AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Doa Adalah Intipati Kepada Segala Ibadah
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Tiadalah di atas dunia ini seorang Muslim yang berdoa melainkan akan diperkenankan Tuhan atau dipalingkan daripadanya kejahatan selama dia tidak berdoa perkara-perkara yang berdosa atau membuat perkara yang memutuskan tali persaudaraan. Lantas seorang lelaki berkata: “Kalau begitu kita perbanyakkan doa? Jawab baginda: “ Di sisi Allah (penerimaan) lebih banyak.”
Riwayat at-Tirmizi

Huraian
Pengajaran hadith:
i) Setiap umat Islam dituntut supaya berdoa kerana doa adalah inti pati kepada segala ibadah. Orang yang enggan berdoa dianggap sebagai orang yang sombong, takbur dan bongkak.
ii) Ketika berdoa, kita hendaklah peka kepada apa yang didoakan (dipohon), janganlah berdoa dengan mulut sahaja sedangkan hati kita lalai. Sebaliknya hadirkan hati serta hayati apa yang dipohonkan itu serta yakin bahawa Allah akan menerima doa tersebut kerana sesungguhnya Allah S.W.T tidak akan memperkenankan doa orang yang hatinya lalai dan alpa.
iii) Supaya doa dimakbulkan, hendaklah kita mematuhi adab-adab berdoa serta memilih masa dan tempat yang sesuai kerana Allah dengan sifat-Nya yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang tidak akan mensia-siakan doa hamba-Nya selama mana apa yang diminta itu merupakan perkara-perkara yang baik. Begitu juga Allah yang sifat-Nya yang Maha Pengampun tidak akan menolak doa hambanya yang beristighfar dan berdoa memohon keampunan dari segala dosa yang telah dilakukan.

Monday, October 11, 2010

DOAKAN YANG BAIK-BAIK

Hadith :
Dikhabarkan dari Aisyah r.a mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w apabila melihat hujan, baginda berkata:”Semoga hujan yang bermanfaat.”
(al-Bukhari)

Huraian
Setiap perkataan yang keluar daripada mulut anak Adam adalah datang daripada niat dalam hatinya. Orang yang suka mengeluarkan kata-kata yang baik mencerminkan keikhlasan hatinya dan kebaikan hati budinya. Manakala orang yang suka bercakap perkara-perkara yang buruk kebiasaannya berperangai tidak elok. Itulah persepsi biasa dalam masyarakat. Begitulah keadaannya bilamana kita inginkan sesuatu kebaikan janganlah kita berkata perkara-perkara yang berbentuk negatif kerana ia seumpama doa yang dipohon secara tidak langsung kerana sesungguhnya Allah S.W.T Maha Mendengar segala percakapan hamba-Nya. Justeru apa yang baik itu datangnya daripada Allah dan segala yang buruk itu datangnya daripada kesilapan kita sendiri.


Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia